KISAH PERJUANGAN PENDETA ZA'BA

   Za’ba, merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya.
   Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya.
Za’ba duduk dari tempat kedua dari kanan. Gambar ini diambil pada bulan Ogos 1929. -Foto THE STAR
   Penulis agung ini suka bergiat aktif dalam perkhimatan masyarakat. Beliau menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya pada tahun 1937.
   Pada tahun 1946, pendeta ini dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO di kongres menentang pembentukan Malayan Union.
Beliau keluar dari dunia politik selepas Piagam Umno diterima dan diluluskan.



Za'ba berkot hitam pada Ogos 1929 - Foto Star

Za’ba mulai serius menulis ketika berkhidmat sebagai guru sandaran di Johor Baru pada tahun 1916. Rencana pertamanya berjudul “Temasya mandi Safar di Tanjung Kling” telah diterbitkan sebanyak dua kali oleh akhbar Utusan Melayu. Za’ba berkeupayaan menggabungkan pelbagai aspek seperti bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, politik dan pendidikan dalam penulisannya.
Ketika berkhidmat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Za’ba menumpukan usahanya untuk menggabungkan tatabahasa Arab dan Inggeris ke dalam bahasa Melayu dan menggunakan aturan tatabahasa tersebut dalam penerbitan buku teks sekolah dan bahan bacaan umum. Ketika di Tanjong Malim juga, Majalah Guru dan Al-Ikhwan telah terbit. Za’ba turut menyumbangkan hasil tulisan, termasuk karya terjemahan beliau dalam kedua-dua majalah  tersebut sehingga tahun 1931. Beliau kemudian meneruskan kerjaya penulisannya dengan menulis rencana bercorak agama untuk diterbitkan sebagai buku. Usaha pertamanya, buku Umbi Kemajuan telah diterbitkan pada tahun 1932.
Za’ba merupakan anak Melayu yang tidak jemu-jemu mengabdikan dirinya dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu. Karya beliau yang terkenal ialah Pelita Bahasa Melayu, sebuah kitab rujukan utama bagi seluruh masyarakat yang ingin mempelajari bahasa Melayu. Beliau juga berjaya menghasilkan buku tatabahasa berjudul Ilmu Mengarang Melayu. Kedua-dua karya tersebut telah dijadikan buku teks sekolah sehingga selepas Perang Dunia Kedua. Selain itu, Daftar Ejaan Jawi/Rumimerupakan sebuah lagi hasil karya terpenting Za’ba. Beliau turut menulis dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JAMBRAS) dalam usaha beliau memperkenalkan bahasa Melayu kepada orang asing.


Za’ba tidak hanya menumpukan minatnya terhadap bidang bahasa dan persuratan Melayu, malah tulisan beliau melangkaui bidang lain seperti ekonomi, agama dan sikap orang Melayu sendiri. Beliau menulis tentang kemiskinan dan menyentuh mengenai cara mengatasi ekonomi masyarakat Melayu ketika itu. Di sinilah terletaknya ketegasan dan kebolehan beliau sebagai seorang nasionalis.
Selain itu, Za’ba turut aktif dalam khidmat masyarakat. Beliau pernah menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (1937), dan dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (1945). Pada tahun 1953, beliau dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bersama-sama Ungku Aziz, beliau mengatur pembentukan Pertubuhan Bahasa Pelajar dan dua tahun kemudian beliau menubuhkan Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBUM).
Beliau menerima gelaran “Pendeta” secara rasmi pada tahun 1956 ketika berlangsungnya Kongres Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru. Semua titik peluh yang dicurahkan dalaml kerjanya adalah kerana beliau mahu meletakkan bahasa Melayu di puncak persada tanpa mengharap apa-apa balasan.
Malahan, beliau pernah menolak anugerah bintang penghormatan Pingat Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Dato’, dan bintang  kebesaran dari negara Brunei Darussalam. Bagaimanapun, pada tahun 1962, beliau akhirnya bersetuju menerima Pingat Bintang Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Pada tahun 1973 pula, Za’ba memperoleh Ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sumbangan beliau sangat besar ertinya. Beliau bertanggungjawab merancang kurikulum sekolah, sebagai penterjemah dan pensyarah. Semasa era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau diberikan tanggungjawab bagi menulis buku yang boleh digunakan di Malaya ketika itu dan juga Sumatera.
Za’ba  ialah sumber ilham dalam dunia pendidikan Melayu dan Arab. Beliau diibaratkan sebagai sebuah pelita yang mengerdip dalam kegelapan kemiskinan dunia pendidikan orang-orang Melayu ketika zamannya.
Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.