KISAH PERJUANGAN DATO SIAMANG GAGAP

Kahar  Mukmin  atau  lebih  dikenali  Datuk  Siamang  Gagap  adalah  tokoh  terawal  yang menentang  Inggeris  dalam  "Perang  Bukit  Putus",  peristiwa  yang  menjadi  titik  tolak kepada  campur  tangan  Inggeris  di  negeri  yang  terkenal  dengan  adat  Perpatih  itu.
Siapa  sebenarnya  Kahar  Mukmin?
Menurut  penceritaan  orang  tua-tua,  Kahar  atau  Datuk  Siamang  Gagap  lahir  pada  tahun 1817  di  Kampung  Repah,  kawasan  Tampin.  Sejak  kecil  dia  seorang  anak  yang  lincah dan  cerdik  cuma  satu  kekurangannya  iaitu  gagap  bila  bercakap.  Tetapi  apabila  besar  dia  berjaya  mengatasi  masalah  gagapnya.
Diceritakan  Datuk  Siamang  Gagap  pernah  berguru  dengan  seorang  alim  dalam  agama diberi  gelar  TOK  KALI  SINGA.  Kemudian  beliau  ke  Patani  mendalami  ilmu  agama  dan mempelajari  ilmu  persilatan. Beliau  juga  diceritakan  menjelajah  tanah  Minangkabau  untuk mendalami  ilmu  persilatannya.
Apabila  pulang  dari  perantauan,  beliau  mengajar  ilmu  agama  dan  persilatan  kepada anak-anak  muda  di  kampungnya.  Beliau  juga  bercita-cita  menjadi  pembesar  istana  dan untuk  mencapai  cita-citanya  beliau  mengajak  ayah  dan  ibunya  berpindah  ke  Kampung Sungai  Layang  yang  letaknya  tidak  jauh  dari  istana  Yamtuan  Seri  Menanti.  Sikap  Datuk Siamang  yang  rendah  diri  dan  peramah  membuatkan  dia  mudah  disenangi  dan  diterima oleh  orang-orang  kampung.
Serangan  dan  gangguan orang-orang Rawa  (Rao)  yang  datang  dari  Lenggeng  telah mengganggu  keamanan  dan  kemakmuran  Luak  Tanah  Mengandong  (Seri Menanti)  Orang-orang  Rawa  ini  terkenal  dengan  ganas  dan  tidak  berperi  kemanusiaan.  Semasa  itu  orang-orang  Rawa  amat  terkenal  dengan  ilmu  Rao  Rontek  dan  Bom  Katak. Rakyat mengadu  kepada  pihak  istana  tetapi  Yamtuan  Radin  tidak  dapat  berbuat  apa-apa  kerana bilangan  orang-orang  Rawa  yang  ramai  tambahan  pula  baginda  khuatir  ramai  yang  akan menjadi  mangsa  jika  berlaku  peperangan  dengan  orang-orang  Rawa.
Datuk  Siamang  Gagap  hadir  mengadap  Yamtuan  menyatakan  kesanggupannya menghadapi  orang-orang  Rawa  seorang  diri.  Pada  mulanya  Yamtuan  tidak  yakin  dengan kebolehannya  tetapi  bila  Kahar  bersungguh-sungguh  menyatakan  kesanggupannya akhirnya  baginda  bersetuju  dengan  harapan  tidak  berlaku  peperangan. Datuk Siamang Gagap  menggunakan  tipu  helahnya  untuk  memperdayakan  orang-orang  Rawa.  Dia mengadap  ketua  orang-orang  Rawa  bernama  Temusi  lalu  mengaku  datang  dari Minangkabau  bersama  ramai  pahlawan  terbilang  bertujuan  membantu  Yamtuan  untuk memerangi  orang-orang  Rawa.  Datuk  Siamang  Gagap  juga  mengajak  mengadu  kekuatan seorang  lawan  seorang  untuk  menguji  kehebatan  pahlawan  Rawa.  Akhirnya  berlakulah pertandingan  pencak  silat  antara  Datuk  Siamang  Gagap  dengan  pahlawan  Rawa  yang terbilang  dan dalam  pertandingan  itu  Datuk  Siamang  Gagap  berjaya  mengalahkan lawannya.  Kemudian  Datuk  Siamang  Gagap  mengatakan  dia  cuma  orang  suruhan  sahaja berbanding  pahlawan  Minangkabau  lain  yang  semuanya  lebih  handal  darinya.  Akhirnya orang-orang  Rawa  merasa  takut  lalu  meninggalkan  Seri  Menanti.
Info:
1. Rao Rontek: ilmu  sihir  yang  dipakai  yang  membolehkan  pemakai  yang  telah  ditikam atau  dibunuh,  hidup  semula  apabila  jasadnya  terkena  tanah.
2. Bom Katak:  Katak  jenis  kodok  yang  dilumurkan  dengan  cili  yang  akan  mengeluarkan gas  sebagai  mekanisma  pertahanan. Namun  sekiranya  manusia  terkena  gas  ini  boleh menyebabkan  halusinasi  kepada  manusia  tersebut.
Perang Bukit Putus
Sebenarnya,  campur  tangan  Inggeris  di  Negeri  Sembilan  berpunca  daripada  krisis  dan pergolakan  takhta  kerajaan  negeri  antara  Tengku  Laksamana  Antah  dan  Tengku  Ahmad Tunggal  pada  1872  iaitu  selepas  kemangkatan  Yamtuan  Imam.
Datuk  Siamang  Gagap  yang  berasal  dari  suku  Tanah  Datar  di  Seri  Menanti  adalah pembesar  Istana  Seri   Menanti  dan  kedudukannya  ketika  itu  sama  seperti  Menteri  atau Bendahara  yang  mengetuai  pentadbiran  dalam  takhta  kerajaan.
Beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap daripada Yamtuan Radin. Jadi walaupun Yamtuan Radin mangkat pada 1861, Datuk Siamang Gagap masih menjadi pembesar istana yang penting di bawah pentadbiran Yamtuan Imam yang menggantikan kekandanya itu dari 1861-1869.
Kemangkatan Yamtuan Imam menyebabkan berlaku krisis mencari pengganti baginda dan Tengku Ahmad Tunggal, putera sulung Yamtuan Radin dikatakan menuntut hak supaya dirinya dilantik menjadi Yamtuan.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, pembesar istana dikatakan enggan melantiknya dan Datuk Siamang Gagap secara tegas mengangkat Tengku Ampuan Intan, yang juga isteri kepada Yamtuan Radin sebagai pemangku takhta kerajaan.
Sebenarnya, keputusan Datuk Siamang Gagap melantik Tengku Ampuan Intan itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana yang kemudian melantik Tengku Laksamana Antah, putera Yamtuan Radin iaitu anak saudara kepada Yamtuan Imam menaiki takhta kerajaan pada 1972.
Pelantikan Tengku Laksamana Antah sebagai Yamtuan itu, iaitu kira-kira tiga tahun selepas kemangkatan Yamtuan Imam mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal.
Penentangan itu dikatakan menjadi pergolakan penting dalam sejarah takhta kerajaan yang membawa kepada meletus perang saudara yang tercatat dalam sejarah Negeri Sembilan sebagai "Perang Bukit Putus".
Tengku Ahmad Tunggal yang kecewa kemudian meninggalkan Seri Menanti dan bertemu dengan Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman iaitu Undang Luak Sungai Ujung yang simpati dengan nasibnya.
Pada masa ini, Inggeris yang sudah pun memerintah Melaka dengan menerima arahan dari Singapura sejak perjanjian Raffles dengan Sultan Hussein Shah pada 7 Mac 1819 memainkan peranan untuk mencampuri urusan di Negeri Sembilan.

Inggeris yang datang ke Sungai Ujung (dikenali Seremban) sebenarnya terpikat dengan bijih timah menyatakan sokongan kepada Datuk Kelana Putera dan berjanji memberi bantuan kepadanya sekiranya hendak menyerang Seri Menanti dalam usaha membantu Tengku Ahmad Tunggal merebut takhta kerajaan.
Menerusi janji dan bantuan Inggeris itu menyebabkan krisis takhta kerajaan negeri bertambah parah yang akhirnya berlaku peperangan antara Sungai Ujung dan Seri Menanti yang dikenali sebagai "Perang Bukit Putus".
Dalam peperangan itu, penduduk Seri Menanti yang berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah diketuai oleh Datuk Siamang Gagap sementara penduduk Sungai Ujung diketuai Kapten Murray, seorang pegawai tentera Inggeris.
Pada peringkat awal, pasukan Datuk Siamang Gagap berjaya mengundurkan lawan hingga ke Paroi tetapi pihak Inggeris kemudian menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka untuk membantu.
Pihak Inggeris dengan senjata lengkap akhirnya memenangi pertempuran pada 1874 itu dan bagi mengelakkan ditawan, Yamtuan Antah melarikan diri ke Johor sambil Datuk Siamang Gagap meneruskan perjuangan menentang kemasukan Inggeris ke Seri Menanti.
Ketika Datuk Siamang Gagap merancang mahu bertindak balas, beliau mendapat tahu Yamtuan Antah dikatakan sudah menerima syarat berdamai yang dibuat oleh Fredrick Aloysius Weld.
Namun, dikatakan perjanjian antara Yamtuan Antah dengan Inggeris pada 4 Jun 1887 itu terus mendapat tentangan daripada Datuk Siamang Gagap dan bagi mengendurkan suasana, pihak Inggeris dikatakan menawarkannya menunaikan fardu haji ke Mekah.
Ketika pemergian Datuk Siamang Gagap ke Mekah, Inggeris dikatakan mengambil kesempatan memeterai perjanjian dengan Yamtuan Antah dan apabila pulang beliau akhirnya terpaksa mengalah sebaik mengetahui perjanjian itu sudah ditandatangani.
 


Ringkasan mengenai Datuk Siamang Gagap:

Istana Besar Seri Menanti
Selepas menandatangani perjanjian itu, Inggeris berjaya meletakkan pengaruhnya dengan lebih berkesan di Seri Menanti dan kedudukan bandar diraja itu kian tersepit selepas Yamtuan Antah mangkat kira-kira empat bulan selepas perjanjian itu.

Bagaimanapun, dalam usaha Inggeris mahu melantik Tengku Muda Chik menjadi Yamtuan bagi menggantikan Yamtuan Antah yang mangkat pada 1888, Datuk Siamang Gagap keras menentang.
Akibat penentangan itu, pihak Inggeris dikatakan melantik Tuanku Muhammad menjadi Yamtuan dan akhirnya pada 13 Julai 1889, Inggeris menamakan Martin Lister sebagai Residen Inggeris pertama di Negeri Sembilan.
Mengikut sumber Datuk Siamang Gagap yang benci dan menentang kuat terhadap Inggeris kemudian dikatakan mengundurkan diri daripada menjadi pembesar istana dengan melarikan diri ke Pahang selepas penjajah itu campur tangan sepenuhnya di negeri berkenaan.