Kahar Mukmin atau lebih dikenali Datuk Siamang Gagap adalah tokoh
terawal yang menentang Inggeris dalam "Perang
Bukit Putus", peristiwa yang menjadi titik tolak kepada campur tangan Inggeris di negeri yang terkenal
dengan adat Perpatih
itu.
Siapa sebenarnya Kahar Mukmin?
Menurut penceritaan orang tua-tua, Kahar atau
Datuk Siamang Gagap lahir
pada tahun 1817 di Kampung Repah, kawasan
Tampin. Sejak kecil dia
seorang anak yang
lincah dan cerdik cuma
satu kekurangannya iaitu gagap
bila bercakap. Tetapi apabila besar dia
berjaya mengatasi masalah gagapnya.
Diceritakan Datuk Siamang Gagap pernah berguru
dengan seorang alim dalam
agama diberi gelar TOK KALI
SINGA. Kemudian beliau ke Patani
mendalami ilmu agama
dan mempelajari ilmu persilatan.
Beliau juga diceritakan menjelajah tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya.
Apabila pulang dari perantauan, beliau mengajar ilmu agama
dan persilatan kepada anak-anak muda di
kampungnya. Beliau juga bercita-cita
menjadi pembesar istana dan untuk mencapai cita-citanya beliau mengajak
ayah dan ibunya berpindah
ke Kampung Sungai Layang yang
letaknya tidak jauh dari
istana Yamtuan Seri Menanti. Sikap Datuk Siamang yang rendah
diri dan peramah membuatkan dia mudah
disenangi dan diterima oleh orang-orang kampung.
Serangan dan gangguan
orang-orang Rawa (Rao) yang datang dari
Lenggeng telah mengganggu keamanan dan kemakmuran Luak Tanah
Mengandong (Seri Menanti) Orang-orang Rawa ini terkenal dengan ganas
dan tidak berperi
kemanusiaan. Semasa itu orang-orang
Rawa amat terkenal
dengan ilmu Rao Rontek dan
Bom Katak. Rakyat mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan Radin tidak dapat
berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang
ramai tambahan pula baginda khuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang
Rawa.
Datuk Siamang Gagap hadir mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang
diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin
dengan kebolehannya tetapi bila
Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan. Datuk Siamang Gagap menggunakan tipu helahnya
untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia
mengadap ketua orang-orang Rawa bernama
Temusi lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa. Datuk
Siamang Gagap juga mengajak
mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan Rawa. Akhirnya
berlakulah pertandingan pencak silat antara Datuk
Siamang Gagap dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Datuk Siamang Gagap berjaya mengalahkan lawannya. Kemudian Datuk Siamang
Gagap mengatakan dia cuma orang
suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya
lebih handal darinya. Akhirnya orang-orang Rawa merasa
takut lalu meninggalkan
Seri Menanti.
Info:
1. Rao
Rontek: ilmu sihir yang dipakai
yang membolehkan pemakai yang telah
ditikam atau dibunuh, hidup semula apabila jasadnya terkena tanah.
2. Bom Katak:
Katak jenis kodok yang dilumurkan
dengan cili yang
akan mengeluarkan gas sebagai mekanisma pertahanan. Namun sekiranya manusia terkena gas ini
boleh menyebabkan halusinasi kepada manusia tersebut.
Perang Bukit Putus
Sebenarnya, campur tangan Inggeris
di Negeri Sembilan berpunca daripada krisis dan pergolakan takhta kerajaan negeri antara
Tengku Laksamana Antah dan Tengku
Ahmad Tunggal pada 1872
iaitu selepas kemangkatan Yamtuan Imam.
Datuk Siamang Gagap yang berasal dari suku Tanah Datar di Seri
Menanti adalah pembesar Istana Seri Menanti dan kedudukannya ketika itu
sama seperti Menteri atau Bendahara yang mengetuai pentadbiran dalam takhta kerajaan.
Beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap
daripada Yamtuan Radin. Jadi walaupun Yamtuan Radin mangkat pada 1861, Datuk
Siamang Gagap masih menjadi pembesar istana yang penting di bawah pentadbiran
Yamtuan Imam yang menggantikan kekandanya itu dari 1861-1869.
Kemangkatan Yamtuan Imam menyebabkan berlaku
krisis mencari pengganti baginda dan Tengku Ahmad Tunggal, putera sulung
Yamtuan Radin dikatakan menuntut hak supaya dirinya dilantik menjadi Yamtuan.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, pembesar
istana dikatakan enggan melantiknya dan Datuk Siamang Gagap secara tegas
mengangkat Tengku Ampuan Intan, yang juga isteri kepada Yamtuan Radin sebagai
pemangku takhta kerajaan.
Sebenarnya, keputusan Datuk Siamang Gagap
melantik Tengku Ampuan Intan itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada
Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana yang kemudian melantik Tengku
Laksamana Antah, putera Yamtuan Radin iaitu anak saudara kepada Yamtuan Imam
menaiki takhta kerajaan pada 1972.
Pelantikan Tengku Laksamana Antah sebagai
Yamtuan itu, iaitu kira-kira tiga tahun selepas kemangkatan Yamtuan Imam
mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal.
Penentangan itu dikatakan menjadi pergolakan
penting dalam sejarah takhta kerajaan yang membawa kepada meletus perang
saudara yang tercatat dalam sejarah Negeri Sembilan sebagai "Perang Bukit
Putus".
Tengku Ahmad Tunggal yang kecewa kemudian
meninggalkan Seri Menanti dan bertemu dengan Datuk Kelana Putera Syed Abdul
Rahman iaitu Undang Luak Sungai Ujung yang simpati dengan nasibnya.
Pada masa ini, Inggeris yang sudah pun
memerintah Melaka dengan menerima arahan dari Singapura sejak perjanjian
Raffles dengan Sultan Hussein Shah pada 7 Mac 1819 memainkan peranan untuk
mencampuri urusan di Negeri Sembilan.
Inggeris yang datang ke Sungai Ujung
(dikenali Seremban) sebenarnya terpikat dengan bijih timah menyatakan sokongan
kepada Datuk Kelana Putera dan berjanji memberi bantuan kepadanya sekiranya
hendak menyerang Seri Menanti dalam usaha membantu Tengku Ahmad Tunggal merebut
takhta kerajaan.
Menerusi janji dan bantuan Inggeris itu
menyebabkan krisis takhta kerajaan negeri bertambah parah yang akhirnya berlaku
peperangan antara Sungai Ujung dan Seri Menanti yang dikenali sebagai
"Perang Bukit Putus".
Dalam peperangan itu, penduduk Seri Menanti
yang berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah diketuai oleh Datuk Siamang Gagap
sementara penduduk Sungai Ujung diketuai Kapten Murray, seorang pegawai tentera
Inggeris.
Pada peringkat awal, pasukan Datuk Siamang
Gagap berjaya mengundurkan lawan hingga ke Paroi tetapi pihak Inggeris kemudian
menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka untuk membantu.
Pihak Inggeris dengan senjata lengkap
akhirnya memenangi pertempuran pada 1874 itu dan bagi mengelakkan ditawan,
Yamtuan Antah melarikan diri ke Johor sambil Datuk Siamang Gagap meneruskan
perjuangan menentang kemasukan Inggeris ke Seri Menanti.
Ketika Datuk Siamang Gagap merancang mahu
bertindak balas, beliau mendapat tahu Yamtuan Antah dikatakan sudah menerima syarat
berdamai yang dibuat oleh Fredrick Aloysius Weld.
Namun, dikatakan perjanjian antara Yamtuan
Antah dengan Inggeris pada 4 Jun 1887 itu terus mendapat tentangan daripada
Datuk Siamang Gagap dan bagi mengendurkan suasana, pihak Inggeris dikatakan menawarkannya
menunaikan fardu haji ke Mekah.
Ketika pemergian Datuk Siamang Gagap ke
Mekah, Inggeris dikatakan mengambil kesempatan memeterai perjanjian dengan
Yamtuan Antah dan apabila pulang beliau akhirnya terpaksa mengalah sebaik
mengetahui perjanjian itu sudah ditandatangani.
Ringkasan mengenai Datuk Siamang Gagap:
Istana Besar Seri Menanti
Selepas menandatangani perjanjian itu,
Inggeris berjaya meletakkan pengaruhnya dengan lebih berkesan di Seri Menanti
dan kedudukan bandar diraja itu kian tersepit selepas Yamtuan Antah mangkat
kira-kira empat bulan selepas perjanjian itu.
Bagaimanapun, dalam usaha Inggeris mahu
melantik Tengku Muda Chik menjadi Yamtuan bagi menggantikan Yamtuan Antah yang
mangkat pada 1888, Datuk Siamang Gagap keras menentang.
Akibat penentangan itu, pihak Inggeris
dikatakan melantik Tuanku Muhammad menjadi Yamtuan dan akhirnya pada 13 Julai
1889, Inggeris menamakan Martin Lister sebagai Residen Inggeris pertama di
Negeri Sembilan.
Mengikut sumber Datuk Siamang Gagap yang
benci dan menentang kuat terhadap Inggeris kemudian dikatakan mengundurkan diri
daripada menjadi pembesar istana dengan melarikan diri ke Pahang selepas
penjajah itu campur tangan sepenuhnya di negeri berkenaan.